agama
AL-QURAN MENGATASI SAINS
SAINTIS orientalis beranggapan alam dan seluruh isinya terjadi dan apa yang berlaku kemudiannya adalah ‘kebetulan’, atas dasar sifat tabiinya (semula jadi)
Malah teori Darwin mendakwa manusia daripada keturunan monyet. Bagaimanapun, beliau sendiri menafikan kemudiannya apabila wujud banyak percanggahan daripada sudut sains dan akal serta disanggah kebanyakan saintis ketika itu.
Namun perkara sebaliknya ditemui dan berlaku apabila saintis bukan Islam ini merujuk kepada al-Quran dan membuat penyelidikan berasaskan kalam Allah SWT.
Apabila al-Quran dijadikan rujukan serta mengkajinya, ramai saintis yang mengakui kemukjizatan, kehebatan dan keunikan Kalamullah itu.
Mereka bukan hanya terpegun dan takjub, malah tidak ragu-ragu mengakui Nabi Muhammad SAW adalah utusan-Nya untuk menyampaikan Kalam-Nya itu kepada seluruh isi alam.
Sebabnya, mereka gagal temui suatu kejadian yang berlaku secara kebetulan. Sebaliknya semua telah diatur dan ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa dan tercatat dalam al-Quran serta membuktikan keterbatasan akal manusia. Lalu mereka mengimaninya serta menjadi Muslim berilmu yang sejati.
Itulah yang berlaku kepada tokoh-tokoh sains besar Amerika Syarikat seperti Profesor Psikologi, Dr. Muhammad al-Mahdi; Pensyarah Matematik, Dr. Jefry Lang; dan ramai lagi saintis lain di dunia terutama di Eropah.
Mereka memeluk Islam kerana mengkaji al-Quran dalam penyelidikan sains serta alam semesta yang mereka lakukan.
Sehingga hari ini, tidak ada manusia yang boleh menyahut cabaran Allah SWT agar membuat walau satu ayat yang dapat menyamai atau setanding ayat-ayat al-Quran.
Malah usaha mencipta al-Quran palsu oleh golongan orientalis yang mengandungi 77 surah dan disebar melalui Internet juga gagal.
Ini kerana, kata Pensyarah Pusat Pengajian Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Arif Kasmo, surah-surah yang dihasilkan hanya ada lima hingga 31 ayat tanpa memberi sebarang impak terhadap kajian sains fizik terutama dalam penghasilan gelombang mahupun bentuk susunan grafik pada ayat-ayat palsu itu.
Sedangkan kalam Allah itu kata beliau, bukan sahaja menghasilkan bentuk gelombang dan imej yang unik, tetapi setiap susunan dan bilangan huruf, ayat, nombor serta surah mahupun kedudukan ayat-ayat dan nombor-nombor genap serta ganjil dalam al-Quran, memberi tindak balas dengan menghasilkan impak jelas pada hasil kajian sains fizik.
Menurutnya, setiap huruf, ayat dan surah al-Quran itu pula saling berkaitan antara satu sama lain selaras peranannya sebagai penyelesai masalah dan membangunkan ummah.
“Susunan kandungan al-Quran apabila dipindah dalam bentuk grafik sama ada berupa carta atau arus gelombang elektronik, ia tetap memaparkan bentuk imej yang menakjubkan, termasuk membentuk kalimah Allah dan Muhammad,” jelasnya.
Kajian sains matematik yang melibatkan angka-angka yang beliau sendiri mengkajinya pula kata Dr. Mohd. Arif, memberi hitungan yang terhasil daripada pelbagai cara pembahagian dan susunan dibuat tetap menyamai bilangan asal kandungan ayat al-Quran yang terdiri daripada 6,236 ayat daripada 86,430 perkataan melalui 323,760 huruf-huruf Arab (hijaiiyaah).
Bilangan dan kandungan kalimah itu akan kekal hingga kiamat. Itu jaminan Allah SWT.
Beliau berkata demikian ketika memperkatakan tajuk ‘Pembangunan Manusia Melalui Pendekatan al-Quran dan Sains’ pada Seminar Keajaiban al-Quran dan Sains kelolaan Masjid Negara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Dr. Mohd. Arif, kenyataan al-Quran mengenai bulan terbelah dua pula telah dibuktikan saintis astronomi Barat hasil penggunaan teknologi moden, sekali gus menolak teori ‘kebetulan’ ke atas kejadian alam.
Penemuan sains terhadap proses kejadian manusia dalam rahim ibu pula membuktikan apa yang diberitahu dalam al-Quran mengenainya lebih 14 abad lalu.
“Namun orang Islam hari ini berhadapan dengan masalah yang sangat gawat, walaupun al-Quran di sisi dan dimiliki untuk memandu mereka,” ujarnya.
Kegawatan umat Muslim kata beliau, kerana kita sudah ketinggalan dalam hampir semua aspek pembangunan kehidupan.
Orang Islam kini bergantung kepada umat lain untuk mengurus sebahagian besar sumber bagi membangunkan kehidupan diri dan ummah.
Hakikat kegawatan umat Islam telah pun dibayangkan oleh Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Thauban r.a. antara lain bermaksud: “...hampir-hampir satu kaum itu mengeroyok kamu seperti orang-orang yang kelaparan mengeroyok dulang makanan, lalu aku bertanya Nabi, adakah bilangan kami ketika itu sedikit; jawab Nabi, tidak, kamu ketika itu ramai, tetapi kamu adalah seperti buih...”
Poin-poin buih itu hilang terserap sebaik mendarat di pantai, malah tetap lenyap walaupun di tadah dalam dulang emas. Itulah hakikat Muslim sekarang.
Walaupun ramai, malah banyak jumlah umat Islam tetapi tidak memberi manfaat kepada agama. Sebaliknya saling bermusuhan sesama sendiri dan menjadi ‘khadam’ kaum munafik dan kuffar.
Tidak sebagaimana umat di zaman Nabi Muhammad yang sedikit bilangannya tetapi digeruni musuh dan penentang.
“Ini semua gara-gara orang Islam sekarang tidak gemar membaca dan mengkaji al-Quran untuk membongkar isi kandungan ayat-ayat-Nya serta tidak beramal dengan Nya,” kata Dr. Mohd. Arif.
Orang Islam katanya, hanya mempelajari al-Quran untuk boleh membaca kalam Allah itu bagi mendapatkan ganjaran pahala dan syafaat di syurga.
“Mereka belajar Al-Quran bukan untuk mengetahui isi kandungan kitab Allah dan mengamalkannya. Jauh sekali untuk mengkaji al-Quran untuk membongkar rahsia alam dan sains bagi manfaat kehidupan ummah sejagat,” jelasnya.
Al-Quran tegas Dr. Mohd. Arif, tidak akan berubah sampai bila-bila kerana perlindungannya dijamin oleh pemiliknya, Allah SWT.
Sebab itu kata Dr. Mohd Arif, setiap mushaf (naskhah) al-Quran sama sahaja jumlah dan kedudukan helaian muka surat, susunan baris dan nombor walau di mana ia dikeluarkan.
Bagaimanapun katanya, umat Islam sekarang bukan sahaja salah konsep dalam mempelajari al-Quran, malah semakin jauh daripada kalam Allah itu.
“Sebab itu umat Muslim semakin gawat. Jadi adalah penting untuk setiap Muslim kembali mendekati al-Quran dan sentiasa membaca, memahami serta mengkajinya secara serius,” ujarnya.
Menurut Dr. Mohd. Arif, di dalam al-Quran tersedia segala-galanya untuk dikaji, difahami dan dibongkar bagi merealisasikannya dalam kehidupan untuk manfaat sejagat.
“Allah SWT mewahyukan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW bagi umat Islam adalah sebagai penawar atau jalan keluar daripada masalah yang gawat,” tambahnya.
Ini selaras dengan firmah Allah SWT dalam mafhum-Nya: Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-orang yang buta (mata hatinya) daripada kesesatannya. Dan kamu tidak dapat memperdengarkan (petunjuk Tuhan) melainkan kepada orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang yang berserah diri (kepada Kami). (Ar-Rum: 53)
Beliau berkata, al-Quran adalah sains dan sains itu al-Quran. Sebab itu hanya sedikit ayat yang membicarakan soal fikah, hukum hakam dalam syariat Islam.
“Al-Quran banyak membicarakan soal sains, fizik, kimia, biologi, psikologi, astronomi, matematik dan seluruh alam serta isinya untuk manusia fikir, kaji dan menyelongkarnya,” kata lulusan sains zoologi yang memfokuskan kajian penghayatan sains dan al-Quran dalam penyelidikan kedoktorannya.
Lebih daripada itu tambah beliau, al-Quran menyuruh manusia berfikir dan mengguna serta memanfaatkan akal yang dianugerahkan untuk kebaikan ummah.
Sayangnya kata Dr. Mohd. Arif, al-Quran tidak dimanfaat oleh ilmuwan dan sarjana Islam bagi tujuan tersebut.. Sebaliknya ia dikuasai dan dimanipulasi oleh para saintis dan sarjana orientalis.
“Dr. Mohammad al-Mahdi, Dr. Jerry Lang dan Profesor Ibrahim hanyalah segelintir saintis Barat yang meyakini Islam kerana mengkaji al-Quran dan sains serta menjadi Muslim.
“Tetapi ratusan malah ribuan lagi ahli sains orientalis yang menanti peluang untuk menghancurkan Islam dan Muslim kerana mereka mengkaji al-Quran dan mengalakkan sains,” ujarnya.
Oleh itu, penting bagi setiap Muslim membaca dan memahami al-Quran serta menggalakan anak-anak belajar dan menguasai bidang sains yang berteraskan Kalam Allah.
FAKTA UNTUK DIFIKIRKAN
> Nisbah ahli sains
- Malaysia - 20 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Singapura - 40 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Barat (Eropah) - 80 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Malaysia - 20 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Singapura - 40 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
- Barat (Eropah) - 80 ahli sains dengan jumlah 10,000 orang penduduk.
> Impak peristiwa 11 September New York
- Tidak kurang 33,000 orang Eropah memeluk agama Islam selepas peristiwa 11 September.
- Berpuluh buah gereja di England telah ditukar menjadi masjid oleh Muslim.
- Tidak kurang 33,000 orang Eropah memeluk agama Islam selepas peristiwa 11 September.
- Berpuluh buah gereja di England telah ditukar menjadi masjid oleh Muslim.
> Al-Quran dari kajian sains fizik dari sudut angka (kekal bilangannya)
- Mengandungi 114 surah
- 154 ayat-ayat ganjil dari 27 surah ganjil dan 27 surah genap (27+27 = 54).
- 60 ayat genap dari 30 surah ganjil dan 30 surah genap (30+30 = 60)
- 54 ayat ganjil + 60 ayat genap = 114 surah.
- 57 (27+30) surah ganjil + 57 (27+30) surah genap juga menghasilkan 114 surah.
- Mengandungi 86,430 perkataan dengan sejumlah 323,760 huruf Arab (hijaiiyaah).
- Mengandungi 6,236 ayat.
- Mengandungi 6,236 nombor surah dan ayat ganjil.
- Mengandungi 6,555 jumlah semua nombor dalam surah.
- Grafik daripada susunan ayat dalam surah al-Quran yang terhasil daripada kajian sains fizik membentuk kalimah Allah dan Muhammad dan imej-imej gelombang tersendiri yang unik.
- Mulai diterima oleh Rasulullah SAW pada 15 Ramadan ketika baginda berusia 40 tahun.
- Diturunkan berperingkat selama 22 tahun 2 bulan 22 hari.
- Mengandungi 114 surah
- 154 ayat-ayat ganjil dari 27 surah ganjil dan 27 surah genap (27+27 = 54).
- 60 ayat genap dari 30 surah ganjil dan 30 surah genap (30+30 = 60)
- 54 ayat ganjil + 60 ayat genap = 114 surah.
- 57 (27+30) surah ganjil + 57 (27+30) surah genap juga menghasilkan 114 surah.
- Mengandungi 86,430 perkataan dengan sejumlah 323,760 huruf Arab (hijaiiyaah).
- Mengandungi 6,236 ayat.
- Mengandungi 6,236 nombor surah dan ayat ganjil.
- Mengandungi 6,555 jumlah semua nombor dalam surah.
- Grafik daripada susunan ayat dalam surah al-Quran yang terhasil daripada kajian sains fizik membentuk kalimah Allah dan Muhammad dan imej-imej gelombang tersendiri yang unik.
- Mulai diterima oleh Rasulullah SAW pada 15 Ramadan ketika baginda berusia 40 tahun.
- Diturunkan berperingkat selama 22 tahun 2 bulan 22 hari.
0 ulasan