Breaking News
Loading...

PUASA DARI SUDUT KESIHATAN

Share on Google Plus

Puasa atau menahan diri dari makan dan minum telah menjadi amalan manusia dari berbagai kaum dan agama sejak dahulu kala lagi. Ada yang berpuasa dari makan tetapi tidak dari minum. Ada pula yang menahan dari makan berhari-hari dan ada juga yang berminggu minggu. Terdapat juga mereka yang berpantang dari memakan dedaging dan hanya memakan sayur. Pendek kata, puasa telah digunakan sebagai ibadat, amalan atau kepercayaan manusia.


Artikel yang diselitkan pada kali ini fokus kepada puasa dan kesannya kepada kesihatan. Apakah di sebalik hikmah puasa dan apakah manfaatnya dari segi kesihatan? Puasa adalah suatu proses pembersihan rohani dan jasmani. Jika kita lihat pada definisi puasa iaitu "menahan diri dari makan dan minum serta menahan (mengawal) diri dari semua perkataan, pemikiran atau pendengaran perkara-perkara yang tidak baik". Faedah yang ketara dari amalan di atas ialah kekuatan rohani. Kita kurang mengetahui faedah atau kelebihan puasa dari sudut kesihatan fizikal. Lumrahnya kita kurang faham tatacara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan kerana terlalu mengikut tradisi yang telah menjadi kebiasaan kita bila berpuasa. Amalan puasa yang diwarisi sejak turun temurun ini bukan sahaja tidak memenuhi kaifiat puasa, malah ianya akan mengurangkan pahala puasa dan boleh mendatangkan mudharat kepada orang yang berbuat demikian.

Bagaimanakah cara puasa yang berkesan? Apakah fasa-fasa yang dialami semasa berpuasa? Apakah amalan yang akan memudharatkan orang yang berpuasa?
(Keadaan biasa). Di dalam keadaan tidak berpuasa, banyak tenaga badan digunakan untuk proses penghadaman
makanan. Pada masa yang sama, proses metabolisma dalam sel-sel sentiasa berjalan selagi kita makan dan minum. Sel-sel badan juga mempunyai fungsi memproses bahan makanan untuk dijadikan bahan yang boleh digunakan oleh sel dan badan. Semasa menjalankan proses ini, bahan buangan turut dihasilkan dan perlu di keluarkan dari sel. Jika sel-sel badan terlalu sibuk memproseskan makanan yang diterima, proses pembuangan ini akan menjadi kurang efisyen.. Pada kebiasaannya, pergerakan zat makanan (dan toksin) adalah ke arah lemak dan daging. Oleh itu, makanan yang diambil dengan kadar lebih dari yang diperlukan oleh badan akan menyebabkan terkumpulnya bahan-bahan simpanan - yang disimpan sebagai lemak. Di samping itu, jika fungsi perkumuhan bahan pembuangan kurang efisyen, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan di dalam lemak.
Sewaktu kita tidak berpuasa (dan tidak pula melakukan senaman), proses pembakaran lemak akan menjadi tidak efisyen. Maka secara tidak langsung proses pembuangan toksin juga akan turut tergendala. Ini adalah kerana lemak dalam badan merupakan tenaga yang tersimpan dan hanya akan digunakan jika bahan bakar biasa yang terhasil dari karbidrat tidak mencukupi. Jika proses perkumuhan sentiasa dalam keadaan tidak efisyen, lama kelamaan sel-sel badan akan berfungsi dengan tidak optima kerana proses pembuangan tergendala. Ini akan menyebabkan sistem-sistem lain dalam badan seperti sistem pertahanan, sistem penghadaman dan lain-lain akan turut tergendala. Akibat dari gangguan berbagai sistem ini, kita akan mengalami gegala-gegala gangguan kesihatan seperti lenguh badan, cepat letih, senang demam dan lain-lain lagi.


Semasa berpuasa, aktiviti memproses makanan akan berkurangan (atau berhenti bagi tempoh waktu yang telah ditetapkan). Tetapi proses perkumuhan atau pembuangan masih tetap berjalan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan bahan buangan dan toksin, proses ini dapat berjalan dengan lebih efisyen. Dalam keadaan ini juga, badan kita akan mengalihkan sumber tenaga dari glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak ini akan mengeluarkan toksin dari sel dan seterusnya dapat dibuang keluar. Bagi proses perkumuhan ini, hati dan buah pinggang memberi lebih tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana dapat berehat dari memproses bahan makanan. Pada masa yang sama, darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel-sel) dapat mengalir ke otak dan organ-organ lain.


Perlu dinyatakan bahawa proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku semasa berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu mengalami sembelit (susah membuang air besar). Usus besar adalah di antara organ perkumuhan utama badan. Organ perkumuhan lain termasuk hati, ginjal, paru-paru dan kulit. Jika kurang air di dalam badan, buah pinggang akan menjadi kurang efisyen. Oleh itu semasa puasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel secara optima. Proses pembuangan toksin dari dalam sel-sel badan terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke saluran darah sebelum ia dapat keluar dari badan. Proses pengaliran toksin ini akan menimbulkan gejala-gejala yang sering berlaku pada awal puasa. Di antara gejala-gejala yang mungkin dialami pada awal puasa ialah:-
  • Sakit kepala - ini berlaku kerana toksin yang terkumpul dalam sel mengalir ke saluran darah sebelum ia dikeluarkan dari badan
  • Lengoh badan
  • Lidah berdaki dan mulut berbau
  • Kencing pekat dan berbau
  • Cirit-birit
  • Letih lesu - keadaan ini berlaku di awal puasa kerana badan kita tidak menggunakan tenaga yang tersimpan dalam badan dan masih mengharapkan tenaga dari makanan dari luar. Maka gula di dalam darah berada di tahap rendah dan badan terasa lemah longlai, walaupun pada hakikatnya tenaga tersimpan dalam bentuk lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan!
CARA BERPUASA YANG TIDAK BERKESANBerikut adalah beberapa cara atau kebiasaan yang harus dijauhi supaya kita mendapat manfaat puasa sepenuhnya –

  • Makan terlalu banyak samada pada waktu sahur atau berbuka
  • Memakan makanan yang pedas, berempah atau payah dihazam
  • Memakan terlalu banyak daging binatang terutama bagi mereka yang mengidap batu karang, gout, allergi, alahan)
  • Suka mengulangi makanan sepanjang malam
  • Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
  • Tidur selepas makan (perut kenyang)
  • Minum terlalu banyak kopi atau teh.
Jika kita masih meneruskan amalan di atas, kita bukan sahaja akan kurang mendapat manfaat puasa, malahan kita akan merasa letih dan mungkin juga akan mengalami berbagai masalah kesihatan akibat amalan tersebut. Malangnya masih ramai orang Islam yang berpuasa sedemikian. Dr. Alan Cott menyatakan dalam bukunya `Fasting: The Ultimate Diet' bahawa, "...Muslims fast religiously and unhealthily for a whole month. They eat and drink nothing during the day and gorge themselves at night." Tidak boleh dinafikan memang ada kebenaran dari apa yang dikatakan oleh Dr. Alan Cott mengenai cara orang Islam berpuasa. Walaupun pahit, kita harus menerima hakikat ini dan berusaha untuk membaiki diri agar kita akan mendapat manfaat sepenuhnya dari amalan puasa.
Puasa yang berjaya adalah puasa yang diamalkan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w. dan bukan puasa tradisional Melayu. Puasa yang berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui!
Kunci bagi kejayaan puasa ialah kawalan yang baik semasa berbuka dan bersahur. Cadangan saya semasa berbuka ialah memakan makanan yang senang hadam, yang mengandungi banyak serat dan dalam kadar yang sederhana. Amalan Rasulullah s.a.w. memakan buah tamar semasa berbuka adalah baik sebab tamar mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino - diantaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan. Yang saya tahu, Rasulullah s.a.w. berbuka dengan buah tamar sahaja dan tidak mengikuti dengan nasi serta lauk pauk atau kuih muih. Kawalan berbuka seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. mungkin terlalu susah bagi kita ummat Muhammad di abad 21 untuk mencontohi. Tetapi jika kita beringat, perkara ini akan menyenangkan kita untuk mengawal nafsu makan.
Bagi tujuan mengawal pengambilan kuantiti makanan atau minuman secara berlebihan, kita perlulah bersederhana semasa menghidang juadah berbuka dan makan sahur. Jika banyak yang dihidang dari anika jenis dan rasa, sudah tentulah sukar untuk mengawal apa yang sudah ada di depan mata. Kita harus mengambil peluang ini untuk berjimat khususnya bagi belanja ke atas makanan pada bulan puasa. Oleh itu bilangan dan kadar makanan harus dihadkan. Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum dari bahan semula jadi serta elakkan menggunakan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Sebagai gantian kepada gula putih, anda boleh guna gula merah, madu lebah atau jus buah asli.
Amalan yang baik untuk menyenangkan pembuangan air besar ialah dengan meminum air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selaseh serta getah anggur semasa berbuka. Selain dari membantu membuang air besar, ramuan ini juga mencuci usus. Elak juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi banyak rangsangan kepada saraf dan jantung semasa berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada perut menyebabkan peengeluaran asid hydroklorik secara berlebihan, dan ini boleh menyebabkan keadaan pedih perut atau gastrik.
Protein binatang adalah makanan yang paling komplex dan susah untuk dihadamkan. Ia juga adalah makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan bahan kimia dan berbagai jenis racun termasuklah kuman, hormoneantibiotik dan logam-logam berat serta racun serangga dan lain-lain lagi. Untuk menambah manfaat puasa adalah wajar kita kurangkan memakan protein binatang semasa puasa. Sebagai gantian, kita boleh makan banyak protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dhal, kacang soya, kacang hijau, kacang merah dan lain lain. Walaupun protein di dalam sayur tidak lengkap, dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan diantara satu sama lain. Bagi memudahkan kefahaman, saya bahagikan proses puasa (bulan Ramadhan) kepada:-
Fasa Pertama ( 2 – 3 hari berpuasa )
Fasa Asidosis ( 3 – 14 hari seterusnya )
Fasa Akhir ( 14 hari hingga akhir Ramadhan )


Fasa Pertama
Masa : 2 – 3 hari pertama berpuasa
Gejala : Perut lapar, badan letih, cepat marah – gejala disebabkan kadar glukosa dalam darah rendah. Di dalam fasa pertama inilah sipuasa terasa amat terduga dan inilah yang paling susah hendak dilalui sebab badan belum biasa dangan keadaan perut kosong dan rutin baru yang di amalkan oleh sipuasa.
Fasa Asidosis
Masa : hari ke 3 – 14
Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi `putih` atau berdaki - akibat keadaan ketosis ini gejala yang mungkin dialami oleh sipuasa. Untuk menangani fasa ini, iaitu keadan di mana sipuasa mengalami tekanan darah rendah dan senang gelap mata, sipuasa dinasihatkan tidak berdiri atau bangun dengan tiba tiba. Jika dari baring hendak berdiri, kenalah duduk dulu seketika sebelum bangun. Sipuasa tidak perlu menghentikan aktiviti jasmani atau perkerjaan sebab fasa ini tidak bererti badan menjadi lemah. Bekalan lemak seorang yang berbadan sederhana adalah cukup untuk beberapa bulan dan yang berbadan gemuk mempunyai bekalan lebih dari itu!
Di fasa ini badan mulai mengambil lemak sebagai bahan bakar dan tidak karbohidrat disebabkan bekalan karbohidrat sudah berkurangan. Keadaan ini hanya akan dihasilkan jika pengambilan makanan sipuasa kurang dari keperluan badan. Jika sipuasa mengurangkan penggunaan tenaga atau melebihkan rehat serta memakan berlebihan dan menukar aktiviti / jadual hariannya , keadaan ketosis ini tidak akan terhasil. Fasa ini adalah fasa pembuangan toksin dan bahan kotor dari badan. Gejala-gejala yang dihadapi berpunca dari pembuangan toksin ini. Lagi banyak toksin di dalam badan, lagi lamalah keadaan ini akan berlarutan. Jika anda mengesyaki badan anda mengandungi banyak toksin (selalunya orang yang berbadan gemuk, banyak memakan barang yang tercemar, banyak memakan ubat jenis `drugs', mengidap sembelit atau buang air besar jarang-jarang, mengidap penyakit yang berpunca dari toksin seperti sesetengah jenis penyakit artritis), anda boleh kurangkan kesan asidosis ini dengan membuat persediaan yang rapi dan latihan pra-puasa yang baik. Jika tidak, mungkin badan tidak mendapat sepenuhnya manfaat puasa dan mungkin membawa mudharat kepada hati yang terpaksa menanggung beban pembersihan toksin.


Fasa Akhir
Masa : Dari 14 – akhir puasa Ramadhan
Gejala : Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih, kadar glukos kembali normal
Mental, emosi dan badan semakin `optima` dan anda menjadi `orang baru`. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses `asidosis & ketosis` didalam badan berjalan lancar. Seperti yang disebutkan tadi, persediaan sebelum puasa akan dapat mengurangkan gejala-gejala yang dihadapi semasa puasa Ramadhan. Persediaan pra-puasa ini bertujuan membersihkan hati dan mengoptimakan fungsinya serta dapat mengurangkan toksin didalam badan. Tanda-tanda seseorang itu mempunyai banyak toksin di dalam badan atau mempunyai hati yang fungsinya kurang optima, ialah:
  • mengidap sakit kepala bila ia terlepas waktu makan
  • sembelit
  • sukar menghazamkan lemak
  • mengantuk selepas makan.
  • kerap kembung perut
  • mulut terasa pahit
  • jerawat dan ruam atau kulit kering
  • gemuk
  • nafas berbau
  • alahan makanan
  • masalah penghazaman
  • selalu merasai tekanan emosi, baran, cepat marah, sensitif

You Might Also Like

0 ulasan

About me

Like us on Facebook